Apabila disebut nama Algeria, pasti yang tergambar di kotak fikiran setiap pecinta Islam dan perjuangan Islam ialah FIS dan juga pemimpinnya Syeikh Abassi Madani. Beliau dan juga pergerakannya FIS telah menjadi terkenal di awal 90’an kerana kejayaan mereka mendapat undi majoriti lewat pilihanraya umum Algeria tanggal Jun 1990 dan seterusnya pada Disember 1991.
***
Kejayaan yang akhirnya menjadikan bumi Algeria bersiram darah itu dilihat sebagai kejayaan sebuah parti Islam dalam proses demokrasi yang akhirnya dicabuli. Sayangnya ramai tidak melihat siapakah perintis terhadap perjuangan Islam dan kebangkitan Islam di Algeria pre – FIS. Arus Islami sebenarnya bukanlah bermula dengan kemunculan FIS, ia sebenarnya telah dipelopori oleh gerakan dakwah di awal tahun 70’an lagi yang diterajui oleh seorang tokoh yang bernama Mahfoudz Nahnah.Nama Mahfoudz Nahnah merupakan satu nama yang asing di serata dunia kecuali bagi siapa yang mengenalinya sahaja.
***
Siapakah Nahnah? Beliau adalah pelopor kepada kebangkitan dan gerakan Islam di Algeria walaupun beliau tidak bersama dengan takungan FIS. Lahir pada 28 Januari 1942 di kota Balida 50 Kilometer dari ibu negara Algeria, iaitu Algiers. Graduan pengkhususan Bahasa Arab ini agak berbeza dengan pemimpin – pemimpin gerakan Islam di timur tengah yang lain yang kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional. Dengan kemunculan gerakannya yang membawa nama Jamaat al-Irshad wa al-Islah (Islah) beliau telah memulakan aktiviti dakwah dan tarbiyyahnya kepada masyarakat di awal 70’an dan 80’an dengan program – program bercorak pendidikan dan juga sosial dengan tidak melibatkan diri dengan lapangan politik secara serius.
***

Gerakan ini telah berjaya menimbulkan satu kebangkitan baru di kalangan generasi muda di Algeria. Beliau yang amat terpengaruh dengan idea – idea Hassan al-Banna dan juga gerakan al-Ikhwan al-Muslimun telah menggabung jalinkan fikrah – fikrah tersebut dengan pandangan – pandangan Malik Ben Nabi yang juga merupakan idolanya telah berjaya melebarkan kesedaran Islam dan perjuangan menegakkan syariat di hati rakyat Algeria yang sememangnya hidup menderita di bawah pemerintahan kuku besi pemimpin – pemimpin mereka pasca kemerdekaan dari Perancis.

***

Dalam perjuangannya, walaupun beliau dan gerakannya tidak menjejaki lapangan politik.Pada peringkat awalnya, beliau pernah dipenjarakan selama 15 tahun apabila dituduh merencanakan penggulingan kerajaan di bawah pimpinan Tirani Boumediene yang beraliran sosialis. Tuduhan tersebut disabitkan kerana kenyataan – kenyataan Nahnah yang lantang lagi keras dalam menentang sistem sosialis yang merupakan tonggak pemerintahan di Algeria pada waktu itu. Pada hematnya, sistem sosialis tidak sesuai untuk Algeria yang didiami oleh majoriti muslim. Beliau lebih cenderung untuk menyeru kepada kebebasan politik dan ekonomi.

***

Ketika Algeria mula terbuka kepada demokrasi pada penghujung 80’an dan di awal 90’an, Nahnah telah menubuhkan partinya sendiri yang merupakan rentetan dari gerakan Islahnya iaitu “Gerakan Masyarakat Sejahtera” (Harakat Mujtama’ Li al-Silmi) ataupun singkatannya HAMAS tanggal Disember 1990. Gerakan atau parti ini walaubagaimanapun tidak menarik minat FIS yang merupakan parti Islam terbesar di Algeria untuk bersama dengan mereka. Ini kerana menurut pemerhatian pimpinan – pimpinan FIS , HAMAS tidak sepatutnya wujud dan hanya FIS sahaja yang berhak menerajui aktiviti politik bercorak keIslaman di Algeria.

***

Bagi Nahnah pula, rasionalnya kemunculan HAMAS adalah berdasarkan beberapa faktor yang tidak memungkinkan HAMAS bergabung dengan FIS. Antaranya HAMAS bersifat lebih moderat dan sederhana. HAMAS juga lebih mempromosikan dialog di antara pihak Islami dengan pihak non-Islami. HAMAS juga menurut Nahnah lebih memberikan hak kepada wanita untuk turut serta dalam politik dan juga aktiviti kemasyarakatan yang mana peluang tersebut ditutup langsung dalam FIS. Sikap FIS yang terlampau oportunis dan agresif dalam mengutarakan isu – isu Islam di dalam masyarakat juga tidak berapa disenangi oleh Nahnah dan pendokong – pendokong HAMAS yang lebih bersikap sederhana, intelek dan juga berstrategi.

***

Faktor lain yang membezakan antara dua gerakan ini juga mungkin disebabkan oleh jurang akademik antara kedua – dua golongan. Bagi FIS yang merupakan gerakan massa pendokongnya adalah rakyat marhain dari pelbagai lapisan, para ulama tradisionalis dan juga para pemuda. Berbanding dengan HAMAS yang kebanyakan ahlinya terdiri dari kalangan profesional, intelek dan juga mereka – mereka yang telah berumur.
Sewaktu berlakunya rampasan kuasa tentera ekoran kemenangan FIS yang dianggap sebagai pengancam kepada golongan sekular, Nahnah muncul untuk menyelesaikan konflik tersebut dengan dialog dan juga perbincangan berbanding dengan FIS dengan pelbagai fraksinya yang lebih berminat untuk melancarkan tentangan bersenjata dan mengisytiharkan jihad terhadap pemerintah tentera.

***

Sikapnya ini telah menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan penyokong – penyokong FIS dan juga fraksi – fraksi lain yang ekstrim seperti GIA (kumpulan bersenjata Islam) dan lain – lain lagi lantas melabelkan beliau dengan label agen pemerintah, bersekongkol dengan pemerintah yang zalim, munafik dan pelbagai lagi. Walaubagaimanapun, tindakannya ini membuahkan hasil apabila kerajaan tentera masih lagi memberi peluang kepada parti – parti Islam untuk menyertai pilihanraya.

***

Pada tahun 1995 beliau telah menyertai pilihanraya dan mencalonkan dirinya untuk jawatan presiden. Pertandingan tersebut telah menyaksikan Nahnah berjaya memperolehi sokongan 3 juta suara yang mengundinya untuk jawatan tersebut, namun undian tersebut gagal untuk menjadikannya presiden kerana Boultafeqah, pemimpin sekular pro nasionalis telah berjaya mendapatkan undi yang lebih daripadanya. Walaubagaimanapun undian tersebut telah meletakkannya sebagai calon kedua terbanyak dipilih untuk jawatan tersebut. Pemilihan tersebut juga menyaksikan buat pertama kalinya di dunia seorang pemimpin gerakan Islam bertanding untuk jawatan presiden.

***

Beliau juga telah muncul dengan gagasan “Syurakrasi” iaitu gabungan di antara prinsip syura Islam dan juga nilai – nilai murni yang terdapat dalam ide demokrasi. Menurutnya banyak nilai – nilai yang murni dalam demokrasi yang selari dengan syura dan diperlukan oleh kaum muslimin dalam menjamin keadilan dan juga kesejahteraan dalam bidang politik. Beliau amat lantang menggesa kerajaan Algeria untuk menghormati prinsip demokrasi dan keadilan agar arus Islam diberikan ruang yang lebih untuk bersuara dan mempromosikan agenda dan program mereka.

***

Beliau juga pernah mengunjungi Malaysia beberapa kali dalam siri lawatan tidak rasminya untuk bertemu dengan rakyat Algeria yang sedang bekerja, berniaga dan menuntut di negara ini.
Tokoh yang disegani lawan dan kawan ini akhirnya telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 16 Jun 2003 selepas kembali dari Paris selepas menerima rawatan untuk sakit Luekimianya. Pemergiannya adalah satu kehilangan kepada dakwah Islam dan arus Islami di Algeria dan juga kepada dunia.

Sumber salinan artikel.
Komen:

Fis dan Hamas di Algeria, ternyata memiliki pengaruh dan strategi masing-masing. Namun, musuh juga cukup hebat. Mengganyang umat islam di Algeria hampir 10 tahun.

Advertisements