Sebuah kisah untuk bacaan sahabat2 yang dirahmati Allah. Allah Maha Penyayang . Allah mengasihi hambanya ,lebih dari kasih seorang ibu kepada anaknya.

Semoga kita sama-sama berusaha untuk mengislah dan memperbaiki diri .InsyaAllah. Hasbunallah hu wani’ mal wakiil. Cukuplah Allah sebagai pelindung bagi kami. Berikut ,adalah sebuah kisah benar dari bumi jepun.

**********

Bismillah.

(Maaf seandainya mail panjang ini mengganggu sahabat-sahabat dan adik-adik yang sedang menempuhi peperiksaan. Saya tiada blog untuk bercerita dan berkongsi pengalaman. Andai sahabat-sahabat tiada masa, abaikan sahaja mail ini. Andai ada yang ingin bersantai merehatkan minda, boleh teruskan. Semoga menjadi iktibar untuk semua)

Alhamdulillah, Allah masih beri nikmat pada saya untuk menereuskan lagi hidup pada hari ini.

Alhamdulillah, semalam (1/2/2009) Allah beri saya satu peluang untuk menguruskan jenazah. Bukan jenazah keluarga terdekat saya. Bukan pula jenazah sahabat senagara, Malaysia. Bukan juga jenazah yang meninggal atas sebab-sebab ’biasa’. Malah pengurusan jenzah bukan juga dilaksanakan di Malaysia.

Jenazah yang saya uruskan adalah seorang sahabat dari Bangladesh. Pernah menjadi jiran saya semasa tinggal di Gifu University International House. Pernah beberapa kali bersama-sama mengambil kelas semasa Masters tahun 1. Satu-satunya sahabat Bangladesh saya yang memakai tudung, menjaga aurat di dalam komuniti Bangladesh di Gifu. Jenazah sahabat yang saya uruskan baru 10 hari melahirkan bayi secara C-sect. Juga menjalani pembedahan di bahagian jantung 3 hari sebelum meninggal dunia. Bermaksud, perlu lebih berhati-hati dalam urusan pengendalian jenazah.

Allah itu Maha Mengetahui. Semua jadual hidup saya Allah sudah tentukan yang terbaik buat saya. Allah aturkan saya menghantar Masters’ Thesis pada hari Jumaat (29/1/2010) supaya saya tenang, tidak serabut, ada kelapangan masa dan boleh turut serta dalam pengurusan jenazah pada hari semalam, Isnin (1/2/2010). Allah itu Maha Bijaksana.

Bermula petang Ahad, saya bersama ibu-ibu Indonesia, seorang Japanese Muslim, dan seorang Egyptian telah berkumpul membuat persiapan. Mengumpul maklumat (masing-masing dengan pendapat masing2 dalam tata cara pengurusan jenazah mengikut negara+pengalaman masing-masing) , menonton video pengurusan jenazah di Youtube, memotong kain kafan, dan membuat praktikal.

Isnin pagi, saya mendapat SMS daripada ketua team untuk berkumpul di Masjid Gifu jam 4 petang untuk membuat persiapan terakhir kerana jenazah akan tiba di masjid jam 6 petang. Saya SMS warga Malaysia yang lain untuk bersama-sama menyertai solat jenazah yang dijadualkan pada jam 8 malam. Saya ke lab, ’zemi’ (setiap hari Isnin) seperti biasa dan maklumkan kepada ’sensei’ yang saya perlu pulang awal. Jam 2 saya ke rumah ketua team untuk membuat carta ringkasan kaifiyat memandikan jenazah untuk ditampal di dinding sebagai rujukan kami nanti. Nota ringkas pada asalnya dibuat oleh sahabat Japanese Muslim saya terjemahkan dalam Bahasa Inggeris. Hanya 1orang sahabat Japanese Muslim dan 1orang Indonesia sahaja yang berpengalaman memandikan jenazah.

Jam 4 semua berkumpul. Hajat dihati ingin membuat praktikal sekali lagi agar tidak kucar-kacir nanti. Namun, masih banyak yang perlu diselesaikan. Kalau di Malaysia, semuanya sudah tersedia. Kain kafan, kapur barus, tempat memandikan jenazah, kapas, tabir, dll. Tetapi, bayak perkara yang perlu kami fikirkan dan pastikan sebelum menanti jenazah tiba. Penyediaaan meja untuk memandikan jenazah, bagaimana mengalihkan jenazah untuk dikafankan (Jenazah mengalami 2 pembedahan sebelum meninggal dan baru 10 ari selepas melahirkan anak. Dikhuatiri jahitan pembedahan tercabut dan kain kafan, ruang masjid akan terkena darah nifas yang sentiasa mengalir andai jenazah diangkat berulang kali ke tempat yang berlainan. Tambahan pula, pintu dan ruang laluan masjid sangat sempit). Memikirkan cara terbaik dengan ’simulation’ meminimakan kadar pengalihan jenazah tidak memungkinkan kami untuk membuat praktikal untuk kali terakhir.

Selesai solat Maghrib, kami bersiap-siap di tempat memandikan jenazah. Keadaan agak kelam kabut. Ruang masjid yang sememangnya sempit, bertambah sempit dengan kehadiran sahabat-sahabat Bangladesh lain yang semakin ramai datang untuk melihat jenazah. Jam 6, jenazah tiba. Sebelum dibawa masuk ke ruang mandi (di ruang wudu’ lelaki – siapa pernah ke Masjid Gifu boleh bayangkan kesempitannya) , sahabat Egyptian mengimami doa. 9 orang dari 5 negara (seorang Jepun, 3 orang Malaysia, 3 orang Indonesia, seorang Bangladesh, seorang Egypt) turut serta dalam memandikan jenazah. 2 orang daripadanya sebagai pembantu. Bahasa komunikasi: Bahasa Jepun, Indonesia dan Inggeris. Alhamdulillah, jenazah siap dimandikan dan dikafankan sebelum jam 8 malam.

masjid gifu

Tugas-tugas mengangkat dan mengalihkan jenazah dibantu oleh 2 orang sahabat Arab yang lain (Malaysian dan Indonesian- mini size, tidak cukup tenaga). Sahabat-sahabat Allahyarhamah dibenarkan untuk menatap wajahnya buat kali terakhir sebelum disolatkan. Jam 8 malam solat jenazah. Alhamdulillah, selesai sudah semuanya.

Pengalaman semalam benar-benar memberi kesan dalam hidup saya. Alhamdulillah, Allah memberikan saya tarbiyyah dalam bentuk pengalaman menguruskan jenazah. Banyak perkara yg membuatkan saya berfikir. Berfikir tentang kejadian manusia. Berfikir tentang kekuasaan Allah. Berfikir tentang kehidupan saya selama ini dan masa akan datang.

Saya memandikan jenazah dikala ada satu nyawa bergerak aktif dalam rahim saya. Ya Allah, besarnya kuasa-Mu! Di hadapan saya, ada satu jasad yang tidak bernyawa, tiada kudrat untuk menguruskan diri sendiri. Perlu dibantu untuk dimandikan, dikafankan. Sedang pada masa yang sama, saya juga merasakan ada satu nyawa lain bersama-sama saya. 1 perasaan yang tidak dapat saya terjemahkan dengan kata-kata. Ya Allah, Engkau lah Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Ya Allah, lemah sungguh kami sebagai hamba-Mu. Mungkin tidak ramai yang bertuah seperti saya. Allah beri peluang untuk saya melihat dan merasa 2 perkara dalam 1 masa. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Alhamdulillah, saya juga sangat berterima kasih kepada suami saya yang membenarkan saya menyertai team menguruskan jenazah. Mungkin tidak ramai suami yang akan membenarkan isteri yang sedang mengandungkan zuriatnya, tambahan pula si isteri nun jauuuuuhhhhh beribu-ribu batu daripadanya. Mungkin bimbang akan kesihatan si isteri, dari segi emosi, fizikal dan mental. Tetapi, saya sangat bersyukur mempunyai suami yang sentiasa memberi moral support, suami yang tahu fardhu kifayah menjadi fardhu ain apabila tiada yang sanggup menguruskan jenazah. Alhamdulillah. (Kepada sahabat-sahabat akhwat, carilah pasangan yang BENAR-BENAR MEMAHAMI ISLAM supaya kita sentiasa dipimpin untuk berada dijalan Allah. Kepada sahabat-sahabat ikhwah, jangan jemu menuntut ilmu, jangan jemu dalam memimpin isteri/bakal isteri, isteri itu amanah daripada Allah).

keluarga solehah

Alhamdulillah, saya juga sangat bersyukur kerana berpeluang menyusukan anak sulung saya, dari hari pertama dia dilahirkan sehingga usianya 1tahun 4 bulan. Sehingga saat terakhir saya meninggalkannya di KLIA tanggal 28/9/2009 yang lalu. Saya berpeluang membesarkannya, bermanja dengannya, bermain dengannya, menyanyikan lagu-lagu nasyid dan kanak-kanak untuknya…. Saya berpeluang melihatnya membesar hingga ke hari ini walaupun hanya di webcam. Tidak seperti sahabat saya yang pergi meninggalkan anaknya dalam usia anaknya 10 hari. Mengalir air mata saya mengenangkan betapa bertuahnya anak saya, betapa bertuahnya saya. Ya Allah, besarnya kuasa-Mu. Ya Allah, lindungilah anaknya, lindungilah kami. Semoga kami terus berada dalam keberkatan hidup, Ya Allah.

Alhamdulillah, di dalam komuniti Bangladesh seramai 40~50 orang di Gifu Universiti, hanya Allahyarhamah sahaja yang sentiasa menjaga aurat. Ternyata, Allah sangat menyayanginya. Allah tahu apa yang terbaik untuknya dan komuniti Bangladesh yang lain. Semoga mereka mendapat pengajaran daripada kejadian yang berlaku. Semoga ada yang berubah mengikut jejak langkahnya menutup aurat selepas ini. InsyaAllah, amin!

muslimah solehah

muslimah solehah , hiasan duniawi

Andai ditakdirkan tenaga sahabat-sahabat diperlukan untuk menguruskan jenazah secara tiba-tiba satu hari nanti, jangan takut untuk memberi bantuan sekiranya kita tidak cukup ilmu. Saya juga cuma pernah mengikuti pengurusan  jenazah secara praktikal 5 1/2 tahun yang lalu. Siapa sangka ilmu pengurusan jenazah dipelajari di Summer Camp IPIJ 2004 (Shiga, Jepun) berguna pada tahun 2010, juga di Jepun. (Masih lagi saya terbayang-bayang Abang Pian yang pada awalnya berlakon menjadi mayat terpaksa ditukar kepada Luqman yang lebih ringan badannya. Sampai tertidur-tidur Luqman dek aircond yang menyamankan) . Saya banyak belajar dari pengalaman semalam. Mudah-mudahan pengalaman saya ini berguna lagi untuk masa akan datang. Hari ini, kita bantu orang. InsyaAllah, bila tiba hari kita, Allah beri bantuan melalui org lain untuk bantu kita pula.

Tiada siapa tahu bila, di mana, bagaimana kita akan mati. Yang pasti kita perlu sentiasa mempersiapkan diri untuk menempuhi hari yg pasti. Kerana setiap kita TETAP akan MATI juga. Bila terhentinya nyawa anak Adam, maka terputuslah segala amal ibadahnya, kecuali 3 perkara; amal baik, anak yang soleh dan sedekah jariah. Andai esok ditakdirkan kita menemui ajal, apakah bekal yang perlu kita bawa dan sediakan untuk hidup selepas mati? Sudahkah kita mula menyediakan bekalan tersebut? Sudah cukupkah bekalan kita?

Semoga pengalaman saya menjadi iktibar yg besar untuk saya dan sahabat-sahabat.

Al-Fatihah untuk sahabat kita, Allahyarhamah Meherun Naher. Semoga Allah menempatkannya di kalangan orang-orang soleh. Amiin.

Wassalam.

Fadhlyna Abd Wahab.

Gifu University.

Advertisements