June 2009


ketenangan

Ketenangan rumah Allah.

Salam bulan Rejab buat semua sahabat-sahabat.

1 Rejab 1430 Hijrah.24 Jun 2009.

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

“Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”
*****

Sahabat-sahabat berpuasa pada hari ini ? Alhamdulillah bagi yang dikurniakan nikmat melaksanakan ibadat padaNya.Bagi yang baru ingin bermula ,masih berpeluang untuk esok dan hari-hari seterusnya.

Bulan Rejab bulan Allah.Bulan Syaaban bulan Rasulullah,dan bulan Ramadhan bulan ummat.Ana juga hampir lupa.Terima kasih kepada sahabat ana,hafidz afifi yang mengingatkan.Rejab bulan taubat,Syaaban bulan muhibbah dan Ramadhan bulan dilimpahi amalan pahala.

Rejab ada ingatan Isra’ Mi’rajnya, Syaaban dengan Nisfu Syaaban dan Ramadhan dengan malam lebih baik dari seribu bulan.Selamat memburunya, buat diri dan semua sahabat.

Alhamdulillah, semalam juga baru selesai satu ujian kemasukan ke universiti.Masih berbaki lagi dan akan terus berusaha.Sepanjang proses untuk menghadapi ujian kemasukan ke universiti kelmarin, ana sempat bermalam dirumah sahabat ana.Memerhati kehidupan insan yang telah bekerja, banyak sekali pengalaman beharga yang dapat diterima.Banyak juga nasihat dan tunjuk ajar yang tersurat mahupun yang tersirat.Semalaman bermusafir,banyak sekali pengisian yang dapat diterima.

Sahabat, satu nikmat dari Ilahi.Alhamdulillah.Semoga kehidupan kita semua sentiasa dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang rindukan kasih sayang kerana Allah.

Selesai makan malam, kami sempat bertasmiq (saling memperdengarkan) doa.Doa mustajab dicari melalui internet.Beberapa laman dibuka.Setelah dikongsi, kami berazam untuk sama-sama mempraktikkan. Sahabatku juga, sempat berkongsikan beberapa doa amalannya.Doa mendapat isteri solehah dan anak-anak sebagai penyejuk mata juga, sempat kami kongsikan.

doa keluarga solehah

Dalam tawa kecil, malam itu cukup bermakna buat diri ini.

Kesunyian manusia itu sukar sekali diungkapkan.Namun, ana pasti temanku ini tidak sunyi bersama Allah.

Semoga bersua lagi,teman.Juga semakin dekat kita dengan Ramadhan.Mahu tahu berapa hari lagi ?

*****

1. Senyum itu adalah sedekah. Maka bersedekahlah kepada semua.
2. Berzikir akan menentukan “landscape” kediaman kita diakhirat kelak,amalkan dengan ikhlas.

” Sabtu ,9 pagi.Yoshida kun (senior) akan datang bagi sikit penerangan.Harap kamu dan watannabe san, akan hadir ke bilik kenkyu. ” – email dari Takeuchi sensei.

Menjelang sabtu pagi, beberapa minit terlewat, kemudian email ke dua datang.Yoshida kun akan datang lewat 30 minit.Ringkas, makluman dari sensei.Kenkyu ( kajian ) kali ini, kami berdua, iaitu bersama watanabe san akan melakukan kajian berkenaan proses klorofil yang menggunakan laser.Sedikit ada hubungan dengan jurusan di bidang sainsteknologi atau lebih dikenali sebagai bushitse.Namun, mekanisme, pengendalian mesin dan proses perlaksanaan lebih tertumpu pada aspek kejuruteraan elektrik dan elektronik.

Beberapa jam yang agak panjang di hari cuti, dirasakan berlalu dengan begitu cepat.Mungkin tertarik dengan penerangan dari senior.Walaupun mula-mula, sebelum proses penerangan dilakukan ,ada beberapa perkara menarik yang ingin dikongsi sama.

Sebelum kedatangan Yoshida kun, watanabe san telah tiba lebih awal.Sambil menggosok gigi di dalam bilik kenkyu, dengan selamba , ” ohayou ! “, kata ucapan selamat pagi diberikan setelah aku melangkah masuk ke bilik kenkyu.Ucapan selamat pagi di balas kembali.

Sesudah mengosok gigi, diteruskan pula dengan ber’hias’.Banyak sekali alat makeup di letakkan atas meja.Mungkin,setelah tahu bahawa Yoshida kun akan lewat selama 30 minit barangkali.Lantas, komputer makmal dihidupkan.Suasana tidak mahu dibiarkan kaku, aku bertanyakan beberapa soalan.Mungkin jarak selama satu jam perjalanan, dari rumahnya ke kolej, yang sedikit jauh, mungkin boleh dikategorikan sebagai alasan untuk bekejar masa.Mahu buat apa lagi sekarang ?- setelah berasa sedikit kekok berada di bilik makmal.almaklumlah, aku sedikit tidak mahir apabila berkomunikasi dengan perempuan.

” Watanabe san, saya mahu solat sekejap.solat pagi.  ” ,ucapku, lantas mengambil sebuah buku nipis, sebagai hamparan tempat sujud untuk solat dhuha.Kini solat subuh di jepun, masuk pada jam lebih kurang 3 pagi.jadi, waktu solat dhuha agak panjang.Solat dhuha juga merupakan bekal nasihat utama dari ibuku,menjelang persediaan exam.

” Orang islam kalau tinggal solat macammana ? ” -ucap Watanabe san setelah aku menyudahkan solat.

” Hmm..mungkin rasa bersalah dengan TuhanNya. “- balasku sambil berfikir lagi, seeloknya mahu dipanjangkan lagi perbualannya.Moga sedikit ruang dakwah terbuka.Mungkin ,akan datang lagi peluang seterusnya.Mohon diizinkanNya.

*****

Kerap kali, memerhatikan suasana di Jepun, rata-ratanya, masyarakat mereka kurang suka mengambil peduli akan peribadi orang lain.Menyapu bedak muka di dalam bas, mencantikkan bulu kening di dalam keretapi bahkan dengan tanpa segan silu juga akan mengenakan wangi-wangian di tempat tebuka bagi yang bergelar hawa.

Jika mahu diluaskan sedikit skop pemerhatian, masyarakat di jepun kini juga seakan-akan sudah dapat menerima dan menghormati hak orang lain. Namun ada juga sisi negatifnya.

Hak ini, termasuklah seorang individu itu berhasrat untuk menjadi perempuan, walaupun jantina asalnya adalah lelaki.Namun,percaya atau tidak, mereka seakan-akan sudah diterima dan diakui oleh masyarakat sebelah sini.Sering kali berada di kaca tv. yang kerap kali, aku akan bersoal jawab pada diri, sudah terbalikkah segelintir manusia jepun, kini ?

japan

sheikhuna sheikhuna sheikhuna sheikhuna

sheikhuna

sheikh Sedih, dengan kehilangan.

Syukran jazilan sheikhuna,  moga ana masih berkesempatan menghayati penulisanmu.

Takziah dan sekaligus tahniah, ana ucapkan kepada permata islam yang telah meninggalkan kita semua.Kembali kepada kekasih hakiki; Allahlah cinta terakhir bagi hamba-hambanNya yang berkasih sayang keranaNya.

Moga tidak hanya ana menangisi pemergian beliau, sebaliknya sebarkanlah kecintaan beliau iaitu mengajak manusia lebih mendekati kebaikan.Semoga semangat beliau, dapat ana contohi sekalipun di dalam medan pelajaran.

Sheikh, walaupun jasadmu meninggalkan kami, namun ilmu penulisanmu tidak sesekali kami sia-siakan.

Ana, anak muda yang masih belajar untuk mencintai islam.

Sheikh masih hidup dalam hati-hati kami, anak-anak muda yang cintakan islam.

muslimahSalam kembali ke sekolah buat adik-adik di tanah air.Gunakanlah kesempatan yang ada di sela cuti, bukan hanya untuk menyiapkan kerja sekolah semata-mata,namun berlumba-lumbalah untuk membaca dan menolong ibu dan ayah.

Sekadar pesanan ringkas buat adik-adikku.

Selamat berusaha juga buat diri .

Kejayaan diri, contoh buat adik-adik. Saling doa-mendoakan selalu,insyaAllah.

rumah Allah

*masjid gifu, dari azhar.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia” (al-rad:28)

Masjid di Jepun, kini semakin bertambah.Bermukim di Nagaoka, sebuah kawasan yang menghala ke sebelah utara bahagian Jepun, masjid yang berdekatan adalah masjid Niigata.Dan insyaAllah, masjid Nagaoka juga sedang dalam proses untuk didirikan.

Walaupun semakin banyak masjid-masjid yang sedang cuba diusahakan sedaya upaya oleh komuniti kecil islam disini, namun ada satu perkara yang turut menjadi kerisauan pada penggerak-penggerak atau pengasas-pengasas yang menubuhkan masjid tersebut.

Ianya berkisar tentang adakah akan ada penerus atau penyambung yang akan menjaga rumah Allah ini,bila mana pengasas atau abang-abang lama akan pulang setelah tamat pengajian.Ada juga sebuah kisah yang berkaitan dengan seorang hamba Allah, semata-mata ingin menjaga perjalanan rumah Allah tadi, beliau sanggup untuk memanjangkan lagi pengajiannya selama setahun, walaupun sebenarnya dia telah habis pada tahun sebelumnya.Sebuah pengorbanan yang besar, yang menuntut kesabaran dan keyakinan pada sebuah janji dengan Pencipta.

Kisah diatas mungkin salah satu dari pelbagai kisah istimewa yang mungkin mengandungi pelbagai sudut pandangan berkaitan masjid-masjid Jepun.Ada juga surau yang diwujudkan di sebuah bangunan kecil , namun setelah perbelanjaan dari segi kewangan tidak dapat ditampung, masjid ini berada dalam proses penutupan.Di jepun, pelajar negara asing yang paling ramai adalah dari malaysia,sebuah negara yang kaya dengan sumber alamnya.

Namun, jika melihat dari sudut pandang berkaitan modal insan dan sakhsiyah pelajar-pelajar malaysia di bumi asing ini,saya sedikit merasa terkilan dengan penglibatan warga kita sendiri jika masjid menjadi perantara untuk kita dihubungkan.Biarpun, kita jauh dengan isu pelajaran dan masa yang terhad, namun adakah hati-hati kita juga masih jauh dari sebuah kecintaan pada rumah Allah..

Rumah-rumah Allah di Jepun semakin bertambah.Rumah-rumah Allah ini sentiasa ada hati-hati yang merinduinya.Rumah-rumah Allah di Jepun ini penuh dengan kisah untuk diselami.Rumah-rumah Allah di jepun ini, penuh ruang untuk manusia disekelilingnya berbakti.Meninggalkan bumi jepun ini dengan sumbangan yang telah dijanjikan Allah dengan sebaik-baik balasan.Belajarlah untuk berinfak selalu,duhai diri dan sahabat-sahabat.

Cuti nanti,mahu sekali menjejakkan kaki ke seluruh rumah Allah di jepun,jika di izinkan Allah.

Masjid Turki di tokyo ..menyimpan sebuah kisah besar disebaliknya.Sebuah kisah yang terselit hala tuju setiap pelajar muslim di jepun.

Masjid ini didirikan oleh tangan-tangan pengukir yang didatangkan khas oleh Turki dan sehingga kini,dibiayai oleh kerajaan Turki.

Masjid Nagoya yang mempunyai 3 tingkat, penuh meriah ketika Ramadhan berlabuh.Sempat juga, merasai saat berbuka puasa di atas bumbung masjid,setelah ruang didalamnya penuh dengan para jemaah.

Masjid Kobe , masjid yang tertua,dikisahkan ditubuhkan di Jepun.

Masjid Yokohama serta banyak lagi rumah Allah yang lain.

Masjid di Korea dan di China juga meriah dengan jiwa-jiwa manusia.

Semoga masjid di tanah airku jua, biarlah diisi dengan jiwa-jiwa manusia yang rindukan kasih sayangNya.

*****

Buat renungan bersama : artikel rujukan.

Memetik kata-kata dari saifulislam.com,
maharaja meiji

Maharaja Meiji telah menjemput Islam dan Muslim… seakan semangat penduduk Madinah yang membuka ruang baru selepas kesempitan Mekah yang menekan dakwah.

Namun kelemahan umat, menjadikan jemputan itu tidak terisi. Biar pun Muslim sudah sekian lama bertapak di Bumi Sakura, namun peranan mereka masih berada di dalam tandatanya. Saya teringat kepada komentar Sayyid Jamal al-Din al-Afghani:

“Tuanku, ilmuan-ilmuan yang dicadangkan itu telah menjauhkan Muslim dari Islam, bagaimanakah mereka boleh dipertanggungjawabkan untuk mengajak masyarakat Jepun kepada agama kita? Saya berpendapat, adalah penting untuk kita mengkaderkan golongan bijak pandai, memberikan mereka pendidikan khas untuk melayakkan diri mereka memikul tugas ini mengikut keadaan semasa”

Tersebarkah Islam, jika Muslim yang bertindak melumpuhkannya?


3 Jun 1964 merupakan tarikh kelahiran ibuku.Dilahirkan pada jam 2 pagi,insan inilah yang menjadi orang yang paling saya sayangi selepas Allah dan RasulNya.

Selamat Hari Lahir,ibu.

Secara jujurnya,inilah kali pertama saya mengucapkan selamat hari lahir buat seorang ibu.Tiada hadiah istimewa yang dihantar dari jauh.InsyaAllah mendoakan ibu dan ayah di setiap penghujung solat.Duhai Allah, ampunilah dosa-dosa  2 insan yang ku kasihi ini,sebagaimana mereka mengasihi dan menyayangiku sewaktu kecilku.Duhai Allah, ketika aku berada berdekatan dengan mereka,banyak sekali tingkah laku dan kata-kata yang menghiris hati mereka.Ampunilah hambaMu ini,duhai Allah.

Syukran jaziilan buat seorang ibu yang bernama Shamsiah Binti Mamat.Seperti maksud nama ibu , alhamdulillah anakmu ini dapat merasai nikmat cahaya islam dan sinaran iman.Doakanlah selalu,duhai ibu ,moga-moga anakmu ini sentiasa dibimbing dengan keredhoaan dari Allah swt.Seperti juga, ana bersyukur kerana namaku yang dipilih oleh ibu dan ayah sentiasa mendidik diriku untuk menjadi seorang hamba yang mencari keredhoaan Allah swt.

Ibu, jika dipenghujung kata-kata di telefon,selalu untuk anakmu ini mengatakan bahawa ibu, doakanlah semoga anakmu ini berjaya,tapi seringkali ibu akan balas bahawa mak dan ayah sentiasa mendoakan selalu.Ibuku tidak ada apa-apa pangkat di dunia ini.Namun, ibu mempunyai tempat yang paling istimewa dihati ini.Saat berada di wad pesakit ginjal, ibu dan ayahlah, insan yang banyak menitiskan air mata.Patah pergelangan tangan ketika ingin menyambut exam kemasukan ke Jepun,Monbu juga banyak membuatkan ibu cukup bimbang.Maafkan anakmu ini.

Syukur kepada Allah swt kerana saya memiliki seorang ibu dan ayah yang cukup menitikberatkan pesanan agama buat anak-anak.Semoga ibu sentiasa mendoakan kami,anak-anak menjadi pembantu agama Allah, sekalipun melalui bidang pelajaran.Ibu, doakan juga semoga ada cucu-cucu ibu yang begelar ulama’ ,insyaAllah.

Selalu pesan ibu, untuk mecari seorang isteri , pilihlah dari kacamata agama.Bukankah ada 2 syarat yang ibu selalu sebutkan,jika ada adik lelakiku berhajat untuk dipersatukan.Mak akan ajak untuk ke pasar beli ikan dan mak nak uji dengan sifat 20 puluh.Begitu pesan ibu dalam gurauan.Jazakallah ibu.

Semoga ibu tetap beristiqomah mendidik kami, anak-anak dengan didikan islam.Tegurilah kami.Kerana melalui ibu dan ayah jugalah, anakmu ini mengenal kasih sayang Allah swt dan RasulNya.Antara ibu dan isteri , ibulah yang paling utama.Inilah pesanan nasihat buat diri.Begitu juga apa yang turut diimpi oleh seorang isteri, bilamana dia inginkan seorang anaknya yang dilahirkan mecintai dirinya, sebagai seorang ibu.Bukankah ini,pusingan kehidupan kasih sayang yang fitrah..
ibukusyurgaku
Ibu, kirim salam juga buat ayah yang turut banyak memberikan contoh melalui tindakannya.Ayah cukup sayangkan ibunya.Mampukah untuk diri ini, menjadi sebaik dan sesabar ayah dalam mengasihi nenekku.Maafkan anakmu ini,ayah atas setiap tingkah laku dan kata-kata.Banyak sekali, yang diri ini ingin pelajari dari seorang insan yang bernama ayah : Mohd Nor Bin Ismail.

Insan yang kukasihi dan kucintai selepas Allah dan RasulNya,adalah ibu.Selepas itu, ibu.Kemudian ibu.Kemudian abiku.Kemudian, pejuang-pejuang islam.Hanya pada Allah, diri ini serahkan penjagaan ibu dan ayahku.Kerana Dialah yang mampu menjaga insan yang kusayangi,lebih baik dari diriku.
adik2

Adik-adik perempuan,yang dibawah tanggunjawabku.

Tak ternilai pengorbanan yang telah ibu berikan untukku…
ibu lah yang melahirkanku,
seterusnya, menjagaku, mendidikku sehingalah aku jadi seperti sekarang…
ya Allah, jagalah ibu untukku,
berilah ibu kebaikan yang paling baik..
letakkanlah ibu dan ayahku, bersama-sama mereka yang soleh

-dipinjam dari laman kembarafirdaus.

Salam perjuangan dengan tarbiyah ilmu buat adik-adik dan sahabat-sahabat.